Tuesday, October 26, 2010

JAWATANKUASA BERTINDAK HALANG AMBIL TANAH ROBOH SURAU DIBENTUK

Jawatankuasa Bertindak Menghalang Pengambilan Tanah dan Perobohan Surau serta PASTI Bukit Katil telah ditubuhkan secara rasmi semalam di mana Penyelia DUN Bukit Baru Yusof Wahab telah dilantik sebagai Pengerusinya sementara Hj Mohd Yassin Abdul Ghani dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Jawatankuasa tersebut akan menyelaraskan program bagi menggesa kerajaan membatalkan hasrat mengambil tanah rakyat, surau dan Tadika PASTI di Jalan Dato Demang Hussein Bukit Katil.

Dalam kenyataanya awalnya Yusof Wahab berkata tindakan pihak berkuasa dilihat tidak logik kerana jika benar lorong tersebut hendak dibesarkan mengapa ianya tidak menggunakan tanah kosong disebelah kawasan tersebut yang tidak membabitkan perobohan Surau, PASTI dan rumah penduduk kampung. Malah jalan yang dibina di tanah kosong tersebut akan lebih lurus dan tidak bengkok sebagaimana cadangan sekarang".

"Malah jika benar jalan baru itu hendak dibina adalah lebih baik ianya dibina di atas tanah berhadapan dengan Klinik Desa Kg Bukit Katil kerana ianya tidak akan melibatkan rumah dan bangunan-bangunan lain seperti PASTI dan Surau. Sudah tentu pampasannya akan lebih rendah dan duit rakyat dapat dijimatkan"

"Perancangan ini seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk menghapuskan bangunan PASTI dan Surau yang telah lama dibina." kata Yusof dalam sidang akhbarnya di Pusat Aduan Rakyat DUN Bukit Baru disini pagi ini.

Yusof berkata jawatankuasa yang ditubuhkan telah, sedang dan akan menjalankan beberapa aktiviti bagi memastikan pihak berkuasa membatalkan hasrat untuk mengambil tanah berkenaan.

"Pihak kami akan meneruskan program solat hajat dan bacaan Yassin dari masa ke semasa bagi memohon kepada Allah agar tanah, surau dan tadika penduduk kampung selamat di samping memohon Allah memberikan hukuman kepada sesiapa sahaja yang cuba menzalimi kami"

"Program Solat hajat dan bacan Yassin perdana juga akan kami adakan dengan menghimpunkan ulama'-ulama', penduduk yang dizalimi dan sesiapa sahaja yang simpati, Insya Allah doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T" tambah Yusof.

Menurutnya pihak jawatankuasa juga akan meminta pertolongan dari 40 ulama' Kelantan yang akan bermunajat di Mekah dalam isu royalti supaya turut sama mendoakan keselamatan tanah dan surau serta PASTI terbabit selain memohon agar sesiapa yang menzalimi mereka ditimpa dengan hukuman setimpal dari Allah.

Menurutnya pihak jawatankuasa juga akan melantik peguam bagi mewakili mereka untuk mengambil tindakan mahkamah menghalang pengambilan tanah dan perobohan surau dan Tadika PASTI terbabit.

"Tuan tanah dan ahli jawatankuasa Surau serta PASTI bertegas tidak mahu membenarkan tanah mereka diambil, surau serta PASTI dirobohkan, kerajaan seharusnya mendengar rayuan rakyat jika benar mereka mengamalkan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". kata Yusof.

Yusof juga berkata ADUN PR Kawasan Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong akan membawa usul berkaitan tanah ini di DUN Melaka yang akan bersidang November ini. Selain itu pihaknya juga akan menghubungi Ahli Parlimen PR untuk menyuarakan perkara sama pada Sidan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Sementara itu seorang penduduk, Haji Jaya Mohamad, 63, berkata Tadika PASTI terbabit amat berjasa kepada masyarakat setempat kerana ia menjadi pusat pendidikan kanak-kanak pra-sekolah manakala Surau tersebut menjadi tempat menimba ilmu agama yang sentiasa mendapat sambutan penduduk setempat. Kelas-kelas pengajian agama hampir setiap malam di adakan di samping kuliah subuh dan juga lain-lain program kemasyarakatan sejak puluhan tahun lalu.

"Mengapa mereka sengaja hendak membuat jalan di kawasan itu sedangkan banyak tanah kosong lain yang tidak melibatkan bangunan dan jalan yang dibuat diatasnya lebih lurus serta wang pampasan lebih rendah"

"Jelas mereka sebenarnya busuk hati dan berdendam dengan kita, mereka sakit hati melihat surau dan pasti ini diimarahkan oleh penduduk setempat"

"Kita akan menentang projek ini dengan pelbagai cara dan saluran" jelas Hj Jaya yang tanah anak-anaknya terlibat dengan pengambilan tersebut.

Tindakan pihak berkuasa yang dilihat sengaja memasukkan Bangunan PASTI dan Surau ini mengundang bantahan hebat dari penduduk setempat. Mereka berpendapat jika jalan tersebut dibina dengan tidak melalui tapak PASTI dan Surau jalan tersebut akan lebih lurus. Mengapa pula pihak berkuasa sengaja ingin membina jalan yang bengkok sedangkan jalan lurus lebih baik dan mudah.

Bantahan awal telah dizahirkan oleh penduduk setempat pada 31 Ogos lalu apabila kira-kira 150 orang penduduk berkumpul beramai-ramai di seberang jalan berhadapan masjid Bukit Katil menyatakan rasa tidak puas hati di samping mereka menyambut Hari Merdeka. Mereka menurunkan tandatangan masing-masing pada sebuah kain pemidang menyatakan rasa tidak puas hati tentang cadangan pihak berkuasa ini.

Bantahan aman kedua dan ketiga diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil 2 minggu lalu dan di hadapan Masjid Bukit Baru Jumaat lalu.

Tidak lama dahulu beberapa penduduk kampung telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam bagi menyampaikan bantahan awal. Dalam perjumpaan tersebut Ketua Menteri telah memberikan pelbagai alasan yang tidak logik tentang pembinaan jalan tersebut.

No comments:

Post a Comment