Thursday, September 23, 2010

PENYELIA DUN BUKIT BARU DALAM MALAYSIAKINI & HARAKAHDAILY- EDARAN KUIH BULAN

Laporan Malaysiakini

PAS mengorak langkah mendekati pengundi bukan Melayu dengan menggerakkan tenaga pemudanya di Melaka bersama-sama kepimpinan pemuda Pakatan Rakyat bagi memperingati semangat 'perayaan kuih bulan' dengan mengagihkan 600 biji kuih bulan.

Program yang berlangsung kelmarin itu dianjurkan oleh lajnah perpaduan nasional Dewan Pemuda Pas diketuai oleh Khairul Che Salleh dengan kerjasama majlis tindakan DUN PAS Bukit Baru, DAP dan PKR.

Program yang bertemakan 'Rakyat Memimpin Perubahan' - melibatkan 6 DUN iaitu Bukit Baru, Serkam, Merlimau, Sungai Rambai, Ayer Molek dan Kuala Linggi.

Pada program ini kira-kira 300 biji kuih bulan diedarkan di sekitar pekan Bukit Baru dengan mengunjungi restoran, kedai-kedai, pasar awam, dan taman perumahan.

Turut hadir pada program ini antaranya adalah ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin, ADUN Ayer Keroh dari DAP Khoo Poay Tiong, exco lajnah kebajikan pemuda PAS Shahril Azam, ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Bukit Katil, Jauhar Md Dawi dan Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.

Sementara itu, Khairul dalam kenyataannya berkata program mengedarkan kuih bulan ini adalah program tahunan yang dijalankan oleh dewan itu kerana ia sentiasa mendapat sambutan yang baik dari masyarakat Cina seluruh negeri Melaka.

"Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang kerana ia terbukti dapat mengeratkan hubungan PAS, DAP, PKR dengan masyarakat Tionghua," tambah Khairul.

Manakala Shamsul Iskandar pula menegaskan kerjasama antara PAS, PKR dan DAP ini berjaya menunjukkan kemuafakatan dalam Pakatan Rakyat walaupun Pesta Tanglung atau Pesta Kuih Bulan yang lebih sinonim dengan masyarakat Cina.

Khoo pula berkata bentuk bulat pada kuih bulan melambangkan meja bulat yang sinonim dengan perbincangan bagi mendapatkan kata sepakat dalam membuat keputusan dan perkara yang sama perlu dibuat sekarang untuk meruntuhkan kerajaan BN.

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab pula berkata semangat ini adalah rentetan daripada revolusi yang muncul ketika rakyat China pada Dinasti Ming bangkit menggulingkan kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh Kerajaan Monggol terhadap orang Cina.

No comments:

Post a Comment