Thursday, August 26, 2010

PERASMIAN PUSAT ADUAN DAN CERAMAH PERDANA 5 SEPT

PAS Kawasan Bukit Katil akan mengadakan program berbuka perdana dan Ceramah Perdana Badar Al Qubra pada 5 September ini bermula jam 7.00 malam dan berakhir pada jam 12.00 tengah malam. Program tersebut akan diadakan di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil.

Ketua Penerangan PAS Kawasan, Cikgu Yusof Wahab dalam kenyataannya hari ini berkata tetamu istimewa akan turut sama memeriahkan program ini ialah Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok Kelantan. Pimpinan PAS, PKR dan DAP negeri Melaka juga dijemput untuk memeriahkan program ini.

"Program tersebut dimulakan dengan iftar Ramadhan (berbuka puasa) bermula jam 7.00 malam diikuti dengan solat Maghrib berjemaah dan seterus solat Isyak dan Tarawikh. Selepas Solat Tarawikh ceramah Perdana Badar Al Qubra akan disampaikan oleh Ustaz Nasaruddin."

"Pihak Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil menjemput seluruh rakyat negeri Melaka untuk hadir pada majlis berbuka puasa perdana ini." tambah Yusof yang juga merupakan Penyelia DUN Bukit Baru.

Untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat membuat amal kebajikan pihak penganjur menyediakan kad-kad derma untuk program berbuka puasa tersebut dengan kadar RM10.00 seorang. Kad-kad ini boleh diperolehi melalui talian 013-2186886. Ianya juga boleh diperolehi pada hari program tersebut.

Selain majlis berbuka dan ceramah perdana tersebut, suatu program yang tidak kurang pentingnya ialah majlis perasmian Pusat Aduan Rakyat (PAR) DUN Bukit Baru, Parlimen Bukit Katil yang akan disempurnakan oleh Ustaz Nasaruddin Mat Isa sebelum program ceramah perdana tersebut

Monday, August 23, 2010

PROGRAM ZIARAH DITERUSKAN DENGAN BERJAYA

Semalam 22 Ogos, sekali lagi MTD Bukit Baru berjaya mengadakan program ziarah sambil menghulurkan juadah berbuka puasa di beberapa tempat di sekitar DUN Bukit Baru. Sambutan rakyat amat menggalakkan seperti sebelum ini.

Beberapa orang penduduk setempat yang ditemui terkejut dengan kedatangan petugas MTD yang menghulurkan juadah kepada mereka. Walaupun juadah tersebut tidak seberapa tetapi dari raut wajah mereka kelihatan mereka amat menghargainya.

'Ada yang mendoakan kami murah rezeki dan mendapat balasan baik dari Allah" ujar salah seorang petugas yang tidak mahu namanya disiarkan.

'Ini dari mana ini, susah-susah datang bagi kuih kepada kami" tanya seorang mak cik kepada petugas kami.

Sementara itu Bendahari MTD Bukit Baru, Haji Jaya Mohamad mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersedekah untuk menjayakan program ini Ziarah ini untuk masa akan datang.

'Kita akan teruskan lagi program ini selama 3 kali lagi di beberapa tempat lain, jadi sesiapa yang ingin bersedekah atau infak duit dan kuih muih boleh hubungi saya atau pejabat MTD di talian 013-6262823' ujar Hj Jaya.

Thursday, August 19, 2010

AL FATIHAH : IBU SAUDARA SDR MD ZEN MENINGGAL DUNIA

Ibu saudara Setiausaha Kerja MTD Bukit Baru merangkap Pegawai Pusat Aduan DUN Bukit Baru, Md Zen AFP Mangkuta meninggal dunia hari ini. Beliau yang tinggal di Kampung Bukit Pulau merupakan seorang yang penyayang dan sangat cintakan perjuangan Islam.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan pada jam 10.00 pagi tadi Tanah Perkuburan berdekatan.

Pusat Aduan DUN Bukit Baru menerima berita sedih sejak awal pagi tadi. Penyelia DUN Cikgu Yusof Wahab dan beberapa AJK MTD Bukit Baru bergegas melawat jenazah Allahyarhan di Bukit Pulau.

Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan roh para Anbia, Solihin dan Syuhada. Al Fatihah.

PENGUNDI MELAYU MULA BERUBAH

Setelah dimomok-momokkan dengan pelbagai fitnah dan serangan kepada PR dengan pelbagai isu seperti PR meminggirkan melayu, DAP mendominasi PR, PR anti Melayu, anti Islam dan sebagainya kini orang Melayu mula sedar bahawa semua itu hanyalah omongan kosong pihak-pihak tertentu sahaja.

Rakyat semakin sedar bahawa semua serangan itu adalah fitnah dan rekaan semata-mata. Hakikatnya terbukti apabila kerajaan-kerajaan negeri PR di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor berjaya mentadbir negeri masing-masing dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah. Tiada kaum dianaktirikan, tiada rumah-rumah ibadat dirobohkan, tiada kronisme dan rasuah, tiada pembaziran dan yang lebih penting program kebajikan dan kesejahteraan rakyat berjalan dengan sangat baik.

Program seperti takaful warga emas/kifaalah, air percuma, bantuan kepada rakyat miskin, ibu tunggal, pelajar, pekerja ladang, elaun untuk para Hafiz/Hafizah dan sebagainya terus dipertingkatkan. Elaun-elaun Imam, guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dinaikkan.

Sekolah-sekolah agama yang dianaktirikan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini dibantu dengan penyaluran wang bantuan khususnya untuk Sekolah-sekolah ini. Sebagai contoh di Selangor kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM6juta untuk sekolah agama.

Tidak syak lagi kerajaan PR jauh lebih baik dari kerajaan sebelum ini.

Wednesday, August 18, 2010

MTD BUKIT BARU TERUS SANTUNI RAKYAT

Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Baru akan meneruskan program ziarah sambil menghulurkan kuih muih berbuka puasa pada minggu ini dan minggu seterusnya. Program ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sehingga ke akhir Ramadhan.

Setakat ini MTD Bukit Baru telah mengadakan program ini di Peti Undi Bukit Katil di mana sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat amat memberangsangkan.

"Kita mahu bertemu dan menziarahi masyarakat setempat di sambil bertanya khabar dan mengucapkan selamat berpuasa".

"Kunjungan kita disambut dengan mesra oleh rakan-rakan kita di Bukit Katil dan Insya Allah hubungan silaturrahim ini akan berkekalan sampai bila-bila" kata Yusof Wahab yang juga merupakan Penyelia DUN Bukit Baru.

Yusof berkata walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi apa yang lebih penting ialah hubungan rapat anatara PAS dan masyarakat setempat di samping mereka juga dapat menyampaikan aduan dan keluhan mereka kepada kita.

"Kalau sebelum ini kita jarang bertemu dan mendengar aduan mereka, kini dengan tertubuhnya Pusat Aduan RAkyat DUN Bukit Baru, kita akan sedaya upaya membantu mereka" ujar Yusof kepada blog ini hari ini.

Sunday, August 15, 2010

PENYELIA DUN BUKIT BARU SANTUNI RAKYAT

Penyelia DUN Bukit Baru, Cikgu Yusof Wahab(gambar) dan beberapa orang petugas MTD Bukit Baru turun padang bertemu rakyat bagi menyampaikan ucapan Selamat Berpuasa dan menghulurkan juadah berbuka puasa di Kampung Bukit Katil dan Bukit Bayan semalam. Antara pimpinan lain yang bersama dengan Cikgu Yusof ialah YDP PAS Kawasan, Ketua Pemuda serta beberapa AJK MTD Bukit Baru dan UPU Bukit Katil.

Program sejam itu berlangsung dalam suasana mesra di mana penduduk setempat melahirkan rasa gembira dengan kesudian Penyelia DUN datang sendiri ke rumah mereka bertanya khabar dan beramah mesra dengan mereka.

Seorang petugas pemuda, Johar Dawam berkata jelas sekali penduduk setempat gembira dengan kunjungan mereka dan terkejut dengan kedatangan kami kerana sebelum ini program sebegini jarang dilakukan oleh PAS di sini.

"Terima kasihlah kerana sudi beri kuih ini pada mak cik".

"Mak Cik pun tak kenal anak ni, PAS oh ya PAS" kata seorang mak cik di Kampung Bukit Bayan" kata Johar ketika ditemui semasa program tersebut.Sementara itu Cikgu Yusof berkata program ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi bertemu rakyat bagi menyelami masalah dan apa juga isu setempat.

"Kita akan teruskan program sebegini di semua tempat, tanpa mengenal penat dan lelah" ujar Cikgu Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil.

Gambar : Johar sedang mengunjungi salah sebuah rumah di Bukit Bayan.

Friday, August 6, 2010

MTD BUKIT BARU AKAN BUKA PUSAT ADUAN RAKYAT (PAR)

Majlis Tindakan DUN Bukit Baru akan membuka Pusat Aduan Rakyat (PAR) di kawasan DUN tersebut dalam jangkamasa terdekat. Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab berkata PAR tersebut akan dibuka dalam bulan Puasa ini juga.

Antara lain PAR ini akan menjadi One Stop Centre untuk rakyat mengadu hal dalam apa juga urusan yang melibatkan kebajikan dan lain-lain masalah. PAR ini juga akan menjadi Pusat Maklumat setempat untuk rakyat khususnya DUN Bukit Baru dan Kawasan Bukit Katil.

'Pusat ini sekarang dalam proses pembinaan dan 'renovation' ia akan siap dalam jangkamasa seminggu dua ini'.

'Kita telahpun melantik seorang petugas sepenuh masa bagi menguruskan Pusat ini" tambah Yusof.

Beliau juga berkata PAR ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa pada awal September ini.