Tuesday, June 22, 2010

PROGRAM AURA PULUT KUNING SAMBUT UNIT AMAL TEMERLOH BERJAYA


Program Aura Pulut Kuning sempena lawatan muhibbah Unit Amal Temerloh ke Melaka berjaya mencapai matlamatnya apabila ianya disambut dengan meriah.

Seramai 30 orang anggota Unit Amal Kawasan Temerloh telah berkonvoi dari Temerloh pada jam 4.00 petang dan sampai di Melaka kira-kira jam 8.00 malam Jumaat lalu. Mereka telah menginap di sebuah chalet di Tg Bidara, Masjid Tanah.

Manakala pagi Sabtu lalu, mereka diraikan oleh PAS Kawasan Bukit Katil serta MTD Bukit Baru dan Ayer Molek. Program bermula pada jam 10.30 pagi apabila mereka berkonvoi dari Tanjung Bidara menghala ke Taman Saujana Bukit Katil. Mereka sampai di Taman Saujana kira-kira jam 11.40 pagi dan disambut meriah oleh penduduk setempat bersama-sama dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek; Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin dan ADUN Ayer Keroh YB Khoo Poay Tiong.

Majlis perasmian program tersebut bermula dengan ucapan Shamsul diikuti oleh YB Khoo dan diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Kamaruddin Sidek. Dalam ucapannya Ustaz Kamaruddin mengalu-alu lawatan muhibbah Unit Amal Temerloh serta menyatakan rasa bangga di atas kesudian mereka mengunjungi Melaka dan menjadi tetamu PAS khususnya PAS Kawasan Bukit Katil, MTD Bukit Baru dan MTD Ayer Molek.

"PAS sentiasa menjalan dan menggalakkan program rekreasi dan riadah seperti konvoi, sukan, kerja amal dan lain-lain dalam usaha untuk mendekati anak-anak muda serta berusaha untuk mendidik anak muda menjadi insan berguna dan bebas dari maksiat dan kerja sia-sia".

"Usaha Unit Amal Temerloh ini wajar dicontohi oleh semua Unit Amal dan Dewan Pemuda di seluruh negara khususnya Melaka" tegas Ustaz Kamaruddin.

Ustaz Kamaruddin juga menyampaikan cenderahati dari PAS Kawasan Bukit Katil kepada ketua kontinjen konvoi Unit Amal Temerloh di akhir program perasmian tersebut.

Jamuan pulut kuning disediakan kepada anggota konvoi dan para tetamu yang hadir pada program tersebut. Seterusnya anggota konvoi telah bergerak beramai-ramai ke DUN Ayer Molek dengan membawa bendera PAS, PKR dan DAP untuk program gotong royong di sekitar DUN Ayer Molek.

Pengarah Program Aura Pulut Kuning MTD Bukit Baru, Cikgu Yusof Wahab dalam kenyataannya selepas program itu melahirkan rasa bangga dan syukur di atas kejayaan program yang disifatkan julung-julung kali diadakan di Taman Saujana yang terletak di dalam Peti Undi Taman Tun Rahah.

"Tidak syak lagi program ini akan dapat menyemarakkan semangat juang petugas dan penyokong PAS setempat dalam usaha untuk mendekati masyarakat dan penguundi menjelang pilihanraya umum yang mungkin berlangsung dalam masa terdekat". kata Cikgu Yusof.

No comments:

Post a Comment